Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh, dan seorang lagi cedera selepas bumbung sebuah rumah lumpur runtuh akibat hujan lebat di wilayah Herat, barat Afghanistan, menurut berita Xinhua memetik laporan saluran media tempatan pada Khamis.
Kejadian itu berlaku di wilayah Kabkan di daerah Obe pada Rabu, selepas hujan lebat melemahkan struktur terbabit.
Mangsa termasuk seorang wanita dan empat kanak-kanak, menurut Xinhua memetik Ariana News, memetik seorang pegawai tempatan.
Sepanjang tiga hari lalu, kebanyakan bahagian Afghanistan dilaporkan mengalami hujan lebat dan salji, mencetuskan banjir kilat di beberapa wilayah.
Dalam kejadian berasingan, hujan lebat dan banjir meragut satu nyawa dan mencederakan empat lagi di wilayah jiran, Farah pada malam Isnin.
Di kawasan terpencil Afghanistan, rumah kediaman kebanyakannya dibina daripada lumpur, kaedah pembinaan yang meningkatkan risiko runtuh semasa cuaca buruk, yang membawa kepada korban jiwa teruk dan kerosakan harta benda yang besar.
Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan lebih 50 yang lain cedera selepas tiga dron Ukraine menyerang sebuah kafe dan sebuah hotel di Kherson pada malam Rabu, kata pihak berkuasa tempatan, menurut berita Xinhua.
Serangan itu berlaku ketika orang awam berkumpul untuk meraikan Tahun Baru, Vladimir Saldo, ketua wilayah Kherson, dilapor sebagai berkata dalam catatan di Telegram.
“Ramai orang terbakar hidup-hidup,” kata Saldo, sambil menyatakan bahawa salah satu dron membawa campuran pembakar, yang mencetuskan kebakaran besar di tempat kejadian. Anggota bomba hanya dapat memadamkan sepenuhnya kebakaran itu pada awal pagi Khamis.
Doktor kini sedang berusaha untuk menyelamatkan nyawa mangsa yang cedera, katanya, sambil menambah bahawa pihak berkuasa serantau akan menyediakan semua bantuan diperlukan kepada mangsa dan keluarga mereka yang terkorban.
Lima orang maut awal pagi Rabu, termasuk seorang mangsa dan empat suspek bersenjata, dalam dua kejadian berkaitan tembakan di negeri Parana, selatan Brazil, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.
Mayat seorang lelaki yang telah ditembak mati ditemui di kawasan kejiranan Cornelio Procopio, sebuah bandar kira-kira 380 km dari ibu negeri Curitiba dan kira-kira 520 km dari sempadan Brazil dengan Argentina dan Paraguay.
Polis Tentera kemudiannya menemui empat suspek bersenjata dipercayai ada kaitan dengan kes itu dan terlibat dalam pengejaran yang berakhir dengan kejadian tembak-menembak, membunuh keempat-empat suspek.
Polis dilapor berkata, suspek melepaskan tembakan ketika cuba melarikan diri dengan sebuah kenderaan, yang kemudiannya terbalik semasa pengejaran.
Mayat empat lelaki terbabit ditemui di dalam kereta bersama dua senjata api, menurut berita Xinhua memetik media tempatan.
Tentera Amerika Syarikat (AS) berkata pada Rabu, lima bot yang disyaki mengangkut dadah dimusnahkan di perairan antarabangsa di timur Pasifik selama dua hari, membunuh lapan lelaki di dalamnya, manakala yang lain terjun ke laut, menurut berita Xinhua memetik Perintah Selatan AS.
Di bawah arahan Setiausaha Perang Pete Hegseth, Pasukan Petugas Bersama Southern Spear telah menjalankan “serangan kinetik” terhadap tiga kapal yang dikendalikan oleh “Organisasi Pengganas yang Ditetapkan” pada Isnin, dan dua kapal pada Rabu, kata perintah itu di laman webnya, menurut Xinhua.
Tiga orang di kapal pertama terbunuh dalam serangan pertama pada Isnin, perintah itu dilapor sebagai berkata, sambil menambah, “pengganas narko yang tinggal meninggalkan dua kapal lain, terjun ke laut dan menjauhkan diri sebelum pertempuran susulan menenggelamkan kapal masing-masing”.
Menurut berita Xinhua, dalam satu lagi siaran akhbar, perintah itu berkata lima orang terbunuh semasa tindakan ini pada Rabu, dengan tiga di kapal pertama dan dua di kapal kedua.
Sehingga Rabu, Pentagon telah menenggelamkan 35 kapal dadah yang didakwa di Caribbean dan timur Lautan Pasifik sejak awal September, membunuh sekurang-kurangnya 115 orang di dalamnya, menurut berita Xinhua.
Selama berbulan-bulan, AS telah mengekalkan kehadiran tentera yang ketara di Caribbean, kebanyakannya di luar pantai Venezuela, kononnya untuk memerangi pengedaran dadah – satu dakwaan yang dikecam oleh Venezuela sebagai percubaan terselindung untuk membawa perubahan kerajaan di Caracas.
Kerajaan Republik Demokratik Congo (DRC) berkata pada Rabu, lebih 1,500 orang awam terbunuh dalam keganasan yang semakin meningkat di wilayah timur negara itu, Kivu Selatan, sejak awal Disember, menurut berita Xinhua.
Menurut berita Xinhua, kerajaan itu dalam satu kenyataan berkata, pertempuran telah meningkat di beberapa kawasan di wilayah itu, terutama di sepanjang paksi Kamanyola-Uvira, di mana operasi bersenjata telah mencetuskan perpindahan berskala besar.
Sementara itu, lebih 500,000 orang dilaporkan terpaksa meninggalkan rumah mereka di tengah-tengah ketidakamanan berterusan.
Kerajaan dilaporkan berkata barisan hadapan telah beransur-ansur beralih ke selatan, menjejaskan pelbagai kawasan di Kivu Selatan, termasuk Uvira, Fizi dan Mwenga.
Pihak berkuasa mengaitkan peningkatan itu dengan kumpulan bersenjata yang beroperasi di rantau itu, menuduh mereka melanggar komitmen sedia ada dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
DRC Timur telah menghadapi ketidakstabilan selama beberapa dekad, satu situasi yang semakin buruk sejak kebangkitan semula kumpulan pemberontak Gerakan 23 Mac pada akhir 2021.
Kinshasa telah berulang kali menuduh negara jirannya, Rwanda, menyokong kumpulan itu, satu dakwaan dinafikan oleh Kigali.
Sembilan orang terbunuh dan lapan lagi cedera dalam kemalangan jalan raya di wilayah Eastern Cape di Afrika Selatan pada pagi Rabu, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.
Kemalangan dilaporkan melibatkan sebuah teksi minibus dan sebuah kenderaan penumpang berlaku sekitar jam 10 pagi waktu tempatan di jalan R61 antara Engcobo dan Cofimvaba dekat Kampung Beyele di Eastern Cape.
Teksi minibus itu, dalam perjalanan dari Ngcobo ke kawasan luar bandar sekitarnya, manakala kenderaan Toyota Avanza, dalam perjalanan dari Cofimvaba, yang mana kedua-dua kenderaan itu bertembung secara berhadapan, menurut jurucakap Jabatan Pengangkutan Wilayah, Unathi Binqose.
Empat orang dari Toyota Avanza dan lima dari teksi minibus itu dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Empat sekeluarga maut awal pagi Rabu apabila kereta mereka dilanggar secara berhadapan oleh sebuah trak pengangkut kereta di lebuh raya persekutuan di negeri Minas Gerais, tenggara Brazil, menurut berita Xinhua memetik polis.
Kemalangan itu berlaku di lebuh raya BR-040 dekat perbandaran Joao Pinheiro di barat laut Minas Gerais, menurut Polis Lebuhraya Persekutuan.
Polis dilapor berkata, trak itu sedang bergerak di laluan Brasilia-Joao Pinheiro apabila ia melintas ke lorong bertentangan dan berlanggar dengan kereta terbabit. Kereta itu terbakar sejurus selepas perlanggaran.
Mangsa, pasangan suami isteri dan dua anak mereka, meninggal dunia di tempat kejadian, menurut berita Xinhua, pemandu trak cedera dan menerima rawatan kecemasan sebelum dibawa ke hospital di Joao Pinheiro.
Ia merupakan kemalangan maut ketiga yang dilaporkan dalam beberapa hari kebelakangan ini di bahagian lebuh raya yang sama.
Bulgaria, dengan 6.4 juta penduduknya, merupakan salah satu negara anggota termiskin dalam kesatuan Eropah (EU) yang terdiri daripada 27 negara, menurut laporan AP bertarikh 31 Dis 2025, purata gaji bulanan ialah 1,300 euro ($1,530).
Pada Hari Tahun Baru (2026), Bulgaria menjadi negara ke-21 yang menyertai kesatuan mata wang euro, sekali gus memajukan integrasinya ke dalam Kesatuan Eropah, menurut AP.
Tetapi peristiwa bersejarah itu tiba di tengah-tengah ketidakstabilan politik dan keraguan dalam kalangan rakyat biasa yang didorong oleh kebimbangan kenaikan harga.
Penyokong peralihan kepada euro daripada mata wang lama, lev, memuji langkah itu sebagai salah satu pencapaian terbesar sejak peralihan 1989 daripada ekonomi ala Soviet kepada demokrasi dan pasaran bebas.
Mereka berharap ia akan menjadikan negara itu lebih menarik bagi pelabur dan mengukuhkan orientasinya ke arah Eropah Barat yang lebih kaya.
Tetapi ramai orang berasa tidak selesa, di negara di mana rasuah berleluasa dan kepercayaan terhadap pihak berkuasa adalah rendah, menurut AP, satu kebimbangan ialah peniaga akan menaikkan harga atau menggunakan pertukaran itu untuk memburukkan lagi inflasi, pada masa inflasi telah pulih kepada 3.7%.
Menurut laporan AP, satu tinjauan pendapat Eurobarometer EU dari Mac menunjukkan 53% daripada 1,017 orang yang ditinjau menentang penyertaan zon euro, manakala 45% menyokong. Satu tinjauan pendapat Eurobarometer yang berasingan, yang diambil antara 9 Oktober dan 3 November pada sampel yang serupa, menunjukkan kira-kira separuh daripada rakyat Bulgaria menentang mata wang tunggal manakala 42% menyokong. Margin ralat adalah kira-kira tambah atau tolak 3.1 mata peratusan untuk tinjauan pendapat Mac.
Negara-negara yang menyertai EU dikatakan komited terhadap euro, tetapi sebenarnya untuk menyertainya boleh mengambil masa bertahun-tahun dan sesetengah ahli tidak tergesa-gesa.
Menurut laporan AP, Poland khususnya telah menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang kukuh sejak menyertai EU pada tahun 2004 tanpa menerima pakai euro.
Syiling euro baharu dengan simbol Bulgaria terpantul pada meja yang dilihat berlatarbelakangkan bendera Bulgaria dan EU, Sofia, Selasa, 30 Dis, 2025. Foto AP
Seorang pegawai polis terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam pengeboman berani mati lewat Rabu di bandar Aleppo, utara Syria, lapor Anadolu memetik media kerajaan.
Serangan itu menyasarkan rondaan polis di kawasan Bab al-Faraj, menurut Anadolu memetik Agensi Berita Arab Syria (SANA).
Menurut Anadolu, televisyen Al-Ikhbariya, memetik sumber keselamatan, berkata penyerang itu meletupkan dirinya semasa diperiksa selepas menimbulkan syak wasangka.
Gabenor Aleppo, Azam al-Gharib dilapor berkata, kejadian itu berlaku semasa pasukan keselamatan dalaman menjalankan tugas untuk mengamankan sambutan Tahun Baru di bandar itu.
Menurut al-Gharib, anggota keselamatan mengenal pasti seorang suspek militan dan bertindak untuk menangkapnya. Semasa operasi itu, seorang pegawai berjaya menahan suspek secara fizikal, di mana penyerang itu meletupkan tali pinggang bahan letupan.