khaliffa1024@gmail.com

  • Sekurang-kurangnya 9 maut, 10 cedera dalam tembakan di Afrika Selatan

    Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan 10 yang lain cedera dalam kejadian tembakan di pekan Bekkersdal dekat Johannesburg, bandar dan hab ekonomi terbesar di Afrika Selatan, lapor Xinhua memetik polis tempatan pada Ahad.

    Kejadian itu berlaku sejurus sebelum jam 1 pagi waktu tempatan (2300 GMT Sabtu), menurut kenyataan daripada Perkhidmatan Polis Afrika Selatan.

    “Dilaporkan bahawa kira-kira 12 suspek yang tidak dikenali menaiki sebuah kombi putih dan sebuah sedan perak melepaskan tembakan ke arah pelanggan kedai minuman dan meneruskan menembak secara rawak ketika mereka melarikan diri dari tempat kejadian,” kata kenyataan itu.

    Sementara Anadolu melaporkan, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan 10 yang lain cedera dalam kejadian tembakan di kedai minuman itu, memetik polis Afrika Selatan.

    Menurut Anadolu, South African Broadcasting Corp (SABC) News melaporkan serangan itu berlaku di KwaNoxolo di bahagian Tambo.

  • Gempa bumi 5.5 magnitud landa Aomori, Jepun

    Gempa bumi dengan magnitud awal 5.5 melanda wilayah Aomori di utara Jepun pada Ahad, lapor Xinhua memetik agensi cuaca negara itu.

    Gempa bumi itu berlaku pada 10:29 pagi waktu tempatan di luar pantai Pasifik Aomori pada kedalaman 50 km, berukuran 4 pada skala seismik Jepun daripada 7, kata Agensi Meteorologi Jepun (JMA).

    Pusat gempa itu terletak pada latitud 40.7 darjah utara dan longitud 142.3 darjah timur.

    Tiada nasihat tsunami dikeluarkan.

  • Peserta protes Sweden kecam pelanggaran gencatan senjata Gaza oleh Israel

    Beratus-ratus orang berkumpul pada Sabtu di Stockholm untuk memprotes rancangan Israel untuk mengilhak Tebing Barat yang diduduki dan kegagalannya mematuhi perjanjian gencatan senjata, lapor Anadolu.

    Peserta protes bertindak balas terhadap tindakan Israel, melaungkan slogan seperti “Bebaskan Palestin”, “Israel pembunuh, keluar dari Palestin” dan “Tidak kepada pengilhakan Tebing Barat”.

    Berikutan seruan daripada pelbagai organisasi masyarakat sivil, orang ramai berkumpul di Dataran Odenplan dan berarak ke Parlimen Sweden, membawa sepanduk yang bertulis “Israel tidak mematuhi gencatan senjata”, “Hentikan genosid” dan “Palestin selama-lamanya”.

    Semasa demonstrasi itu, peserta protes menyeru keamanan dan mengecam dasar kerajaan Israel.

    ‘BAYI MATI KESEJUKAN’

    Aktivis Sweden, Malin Akerstrom dilapor berkata kepada Anadolu, tragedi kemanusiaan di Gaza telah bertukar menjadi bencana disebabkan oleh keadaan musim sejuk dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan.

    Akerstrom menekankan bahawa keadaan di rantau itu semakin merosot setiap hari dan proses itu dianggap sebagai “genosid”.

    Dunia sedang ditipu untuk mempercayai bahawa terdapat gencatan senjata, walaupun Gaza terus dibom dan “bayi-bayi mati kesejukan,” tambah Akerstrom.

    LEBIH 100 PENGGUBAL UNDANG-UNDANG SWEDEN SERU TINDAKAN DI TEBING BARAT

    Lebih 100 ahli parlimen Sweden telah menyeru tindakan untuk mencegah keganasan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat diduduki Israel.

    Para penggubal undang-undang menyampaikan tuntutan mereka dalam surat yang dihantar kepada Menteri Luar Sweden, Maria Malmer Stenergard.

    Dalam satu kenyataan dibuat bagi pihak penggubal undang-undang, dinyatakan bahawa, dalam bayangan situasi semasa di Gaza, keganasan dilakukan oleh peneroka haram Israel di Tebing Barat telah meningkat dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    Mereka menyeru kerajaan Sweden untuk mengambil tindakan bagi menghentikan tindakan keganasan ini, yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

  • Angka maut akibat kebakaran terburuk dalam beberapa dekad di Hong Kong meningkat kepada 161

    Jumlah kematian akibat kebakaran paling dahsyat dalam beberapa dekad di Hong Kong meningkat kepada 161 pada Sabtu, apabila seorang lagi disahkan meninggal dunia melalui analisis forensik, lapor Anadolu.

    “Ujian forensik lanjut menemui DNA seorang lagi dalam salah satu mayat, yang dikenal pasti milik pasangan. Ini bermakna jumlah kematian telah meningkat kepada 161,” kata Pesuruhjaya Polis Joe Chow Yat-ming pada Sabtu selepas perarakan tamat latihan di Kolej Polis Hong Kong, lapor Anadolu memetik South China Morning Post.

    “Ujian DNA sedang dijalankan. Kami tidak menolak kemungkinan orang lain yang telah meninggal dunia mungkin ditemui dan jumlah kematian mungkin meningkat,” tambahnya.

    Ketua polis itu berkata semua enam kes hilang sebelum ini telah disahkan. Lima orang disahkan mati dalam kebakaran itu, dengan seorang lagi meninggal dunia pada 2023.

    Terdahulu, polis menghubungi kira-kira 100 isi rumah di kompleks kediaman itu untuk mengumpul sampel DNA bagi mengenal pasti mangsa.

    Kebakaran itu menyebabkan hampir 5,000 orang kehilangan tempat tinggal.

  • 1 maut, 2 cedera dalam letupan di Khimki, wilayah Moscow

    Seorang terbunuh dan dua lagi cedera dalam satu letupan di Khimki, wilayah Moscow, lapor Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan pada Sabtu.

    Menurut kementerian kesihatan wilayah, dua yang cedera telah dibawa ke institusi perubatan tempatan, dengan seorang daripada mereka berada dalam keadaan kritikal dan seorang lagi dalam keadaan sederhana, lapor agensi berita itu.

    Letupan itu berlaku di halaman sebuah rumah di Banniy Lane, pekan Skhodnya di Khimki, kementerian hal ehwal dalam negeri wilayah dilapor berkata.

    Difahamkan, menurut siasatan awal, punca kejadian itu adalah cuai dalam pengendalian barang rumah yang mudah meletup.

  • Cyprus hantar bantuan kemanusiaan baharu ke Gaza

    Cyprus berkata pada Sabtu, ia menghantar bantuan kemanusiaan baharu ke Jalur Gaza sebagai sebahagian daripada usaha bantuan antarabangsa yang berterusan, lapor Xinhua.

    Sebanyak 44 kontena yang membawa kira-kira 950 tan bahan telah dimuatkan ke dalam kapal dagang di pelabuhan selatan Limassol pada Jumaat, menurut kerajaan Cyprus.

    Kapal itu dijangka tiba di pelabuhan Ashdod, Israel menjelang akhir Sabtu.

    Penghantaran itu adalah sebahagian daripada inisiatif kemanusiaan bersama yang melibatkan Cyprus, Perancis, Slovakia, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan akan dihantar ke Gaza melalui koridor bantuan maritim Amalthea, lapor Xinhua.

    Pihak berkuasa keselamatan Israel telah memeriksa bantuan di Cyprus, satu langkah dijangka memudahkan pemindahannya yang pantas ke Gaza tanpa pemeriksaan keselamatan tambahan, lapor Xinhua memetik pegawai.

    Victor Papadopoulos, pengarah pejabat akhbar presiden Cyprus, dilapor berkata bantuan itu kebanyakannya terdiri daripada bekalan makanan dan barang sanitasi.

    Dia menyatakan penghantaran itu menandakan penghantaran bantuan kelima yang dihantar dari Cyprus sejak Ogos, sambil menambah bahawa laluan bantuan tambahan dirancang untuk Januari.

    Menurut Papadopoulos, jumlah bantuan kemanusiaan yang dihantar ke Gaza sejak pelancaran inisiatif bantuan Amalthea Cyprus pada Mac 2024 telah mencecah kira-kira 30,000 tan.

  • Israel tembak mati 2 rakyat Palestin di Tebing Barat, 2 yang lain di Gaza

    Dua rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, terbunuh dan dua lagi cedera akibat tembakan tentera Israel pada petang Sabtu di Tebing Barat yang diduduki, lapor Anadolu memetik Kementerian Kesihatan.

    Satu kenyataan kementerian menyatakan seorang budak lelaki berusia 16 tahun terkorban akibat tembakan Israel di pekan Qabatiya, barat daya Jenin di utara Tebing Barat, menurut Anadolu.

    Kementerian itu menambah bahawa mayat mangsa ditahan oleh tentera Israel.

    Seorang lagi rakyat Palestin, 22, juga dibunuh oleh tentera Israel di pekan Silah al-Harithiya, barat Jenin, kata kementerian itu, menurut Anadolu.

    Menurut saksi, tentera Israel menyerbu pekan itu dan dikerahkan ke seluruh kawasan itu, lapor Anadolu.

    Sementara itu, Anadolu memetik agensi berita rasmi Palestin, WAFA, melaporkan dua rakyat Palestin cedera akibat tembakan Israel dekat kem pelarian Nur Shams, timur Tulkarem, dan pekan Al-Ram, utara Baitulmaqdis.

    Pasukan Israel dan peneroka haram telah membunuh sekurang-kurangnya 1,102 rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, mencederakan hampir 11,000 orang, dan menahan sekitar 21,000 orang sejak Oktober 2023, menurut angka Palestin, lapor Anadolu.

    Sementara itu, menurut laporan Xinhua, remaja Palestin berusia 16 tahun yang terbunuh di Qabatiya itu bernama Rayan Mohammed Abdel Qader Abu Mualla, manakala lelaki berusia 22 tahun yang dibunuh itu bernama Ahmed Said Zayoud.

    Xinhua melaporkan, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, kedua-dua insiden itu melibatkan serangan ke atas tentera.

    Menurut laporan Xinhua, di Qabatiya, seorang rakyat Palestin melontar batu-bata ke arah askar dari unit peninjau Briged Penerjun Payung semasa serbuan.

    Tentera membalas tembakan, membunuh penyerang itu, kata IDF, seperti dilapor oleh Xinhua.

    Beberapa minit kemudian di Silat al-Harithiya, seorang lagi rakyat Palestin melontar alat letupan ke arah askar, yang turut membalas dengan tembakan, kata IDF, menurut laporan Xinhua, tiada tentera Israel dilaporkan cedera dalam kedua-dua insiden itu.

    Di Gaza, menurut laporan Xinhua, IDF berkata tenteranya membunuh dua rakyat Palestin di utara enklaf itu pada Sabtu selepas mereka melintas Garisan Kuning, kawasan penampan yang diwujudkan di bawah perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober, dan menimbulkan ancaman segera.

    Tentera udara menjalankan serangan itu susulan pengenalpastian individu terbabit, kata tentera, menurut Xinhua.

    Sepanjang 24 jam lalu, pihak berkuasa Palestin melaporkan 13 kematian, termasuk tujuh kematian yang sebelum ini tidak direkodkan dan enam kematian yang baru disahkan, bersama-sama dengan 20 kecederaan, lapor Xinhua.

    Xinhua melaporkan, sejak 11 Oktober, 401 rakyat Palestin telah terbunuh, 1,108 cedera, dan 641 mayat telah ditemui.

    Pihak berkuasa menambah bahawa sejak 7 Oktober 2023, 70,925 rakyat Palestin telah terbunuh dan 171,185 cedera, dengan menyatakan ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan, dengan pasukan kecemasan dan penyelamat tidak dapat sampai ke tempat mereka, lapor Xinhua.

  • Israel bimbang Iran bentuk semula tapak pengayaan nuklear, bersedia beri taklimat kepada Trump – media

    Presiden AS Donald Trump bakal diberi taklimat oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa sebarang pengembangan program peluru berpandu balistik Iran menimbulkan ancaman yang mungkin memerlukan tindakan pantas, lapor Reuters memetik NBC News pada Sabtu.

    Pegawai Israel bimbang bahawa Iran sedang membentuk semula tapak pengayaan nuklear yang dibom AS pada Jun, dan sedang bersedia untuk memberi taklimat kepada Trump mengenai pilihan untuk menyerang program peluru berpandu itu sekali lagi, tambah laporan NBC, menurut Reuters.

  • Jordan mengesahkan ikut serta dalam serangan udara AS ke atas sasaran ISIS di Syria

    Jordan pada Sabtu mengesahkan ia mengambil bahagian dalam serangan udara AS yang menyasarkan kedudukan kumpulan ISIS (Daesh) di selatan Syria, dengan mengatakan operasi itu bertujuan untuk menghalang pelampau daripada mewujudkan semula kedudukan yang boleh mengancam keselamatan serantau, menurut Anadolu.

    Menurut Anadolu, dalam satu kenyataan, tentera Jordan berkata pesawat Tentera Udara Diraja Jordan menjalankan serangan udara berketepatan pada awal Jumaat terhadap beberapa sasaran milik kumpulan ‘pengganas’ itu di selatan Syria.

    Serangan itu dijalankan dengan kerjasama AS sebagai sebahagian daripada gabungan antarabangsa menentang ISIS, kata tentera itu.

    AS melancarkan operasi ketenteraan di Syria sebagai tindak balas atas serangan maut pada 13 Disember ke atas tentera Amerika dekat bandar Palmyra di tengah Syria.

    Lokasi sebenar, bilangan korban, atau butiran operasi lain serangan Amerika itu belum didedahkan, menurut Anadolu.

    Syria telah mengatakan bahawa ia akan terus memperhebatkan operasi ketenteraan terhadap ISIS di semua kawasan di mana kumpulan itu menimbulkan ancaman, menegaskan semula komitmennya untuk memerangi kumpulan pengganas dan mencegah penggunaan wilayahnya sebagai tempat perlindungan selamat bagi pengganas.

  • Lautan manusia sertai pengebumian Hadi di Bangladesh

    Bangladesh menyaksikan lautan manusia menyertai pengebumian tokoh popular pemberontakan Julai 2024, Sharif Osman Hadi, dalam satu upacara berkabung negara pada Sabtu, lapor Anadolu.

    Beratus-ratus ribu orang dilaporkan menyertai pengebumian aktivis politik yang terbunuh itu dan calon kawasan pilihan raya Dhaka-8 pada pilihan raya Februari 2026, yang diadakan di hadapan parlimen negara di Dhaka.

    Hadi, 32, dikebumikan dekat Masjid Pusat Universiti Dhaka, bersebelahan dengan kubur penyair negara Kazi Nazrul Islam, yang tulisannya menginspirasi pemberontakan, menurut Anadolu.

    “Hari ini, beratus-ratus ribu orang telah datang. Orang ramai datang seperti ombak di jalan raya. Pada masa ini, mata berjuta-juta orang berada di sini. Mereka ingin tahu tentang Hadi,” kata ketua kerajaan sementara Muhammad Yunus di pengebumian itu, menurut laporan Anadolu.

    Kita semua harus menerima pakai proses pilihan raya yang telah diajar oleh Hadi kepada kita. Cara menjalankan kempen, cara mendekati rakyat – anda telah mengajar kita segala-galanya. Kita telah menerima pengajaran ini, tambah Yunus.

    Para diplomat, pegawai kerajaan dan parti politik dilaporkan turut menyertai pengebumian itu.

    Terdahulu, PBB dilaporkan menyeru siasatan sewajarnya terhadap pembunuhan Hadi.

    Hadi dilaporkan mati akibat ditembak di kepalanya di ibu kota Dhaka. Dia meninggal dunia di sebuah hospital di Singapura pada Khamis lalu.

    Kematiannya mencetuskan protes ganas, dengan beberapa bangunan dilaporkan dirosakkan dan dibakar.