khaliffa1024@gmail.com

  • 2 pendaki cedera dalam serangan beruang di Taman Negara Yellowstone AS

    Dua pendaki cedera dalam serangan beruang pada petang Isnin di Taman Negara Yellowstone, destinasi pelancongan popular di Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa pada Selasa, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, pegawai taman berkata dalam satu kenyataan, pendaki-pendaki itu “mengalami kecederaan oleh seekor atau lebih beruang” di laluan popular dekat Old Faithful, sebuah geyser terkenal di taman itu.

    “Kakitangan perkhidmatan kecemasan Perkhidmatan Taman Negara bertindak balas terhadap kejadian itu, dan ia masih dalam siasatan,” menurut kenyataan itu.

  • Hizbullah dakwa berbilang serangan ke atas pasukan Israel di selatan Lubnan

    Hizbullah mengumumkan dalam kenyataan berbeza bahawa ia melancarkan serangan terhadap beberapa sasaran Israel di selatan Lubnan petang Selasa, menurut berita Al Jazeera.

    Ia dilaporkan menyasarkan askar Israel di pekan Rashaf dengan dron serangan pada jam 4:30 petang (13:30 GMT), manakala pada jam 6:00 petang (15:00 GMT) ia menyerang tapak al-Balat yang “baru ditubuhkan” di selatan Lubnan dengan roket.

    Kemudian, ia melaporkan menyasarkan kenderaan tentera Israel di kawasan Wadi Jmal, di antara pekan Marjayoun dan Hula, dengan bedilan artileri.

  • Dua terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan

    Pesawat perang Israel melancarkan beberapa serangan ke atas pekan Deir Kifa di daerah Bint Jbeil di selatan Lubnan, mengorbankan dua orang dan mencederakan seorang, lapor berita Al Jazeera memetik Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan.

    Serangan udara juga dilaporkan menyasarkan Jabal al-Hamdani di Nabatieh.

  • UAE dilapor diserang Iran sekali lagi

    Emiriah Arab Bersatu (UAE) “sedang terlibat secara aktif” dengan serangan peluru berpandu dan dron dari Iran, kata kementerian pertahanan negara itu pada petang Selasa di X, menurut laporan AP.

    Ia dilapor berkata, bunyi yang kedengaran di beberapa bahagian persekutuan Teluk berkaitan dengan pemintasan peluru berpandu balistik, peluru berpandu jelajah dan dron.

  • Jumlah kematian di Lubnan cecah 2,702 sejak perang Israel-Hizbullah bermula – AP

    Kementerian Kesihatan di Beirut berkata pada Selasa bahawa 8,311 orang cedera dalam tempoh yang sama, menurut AP.

    Perang Israel-Hizbullah terkini bermula pada 2 Mac lalu, apabila Hizbullah melepaskan roket ke Israel susulan serangan AS dan Israel ke atas Iran.

    Gencatan senjata telah dilaksanakan sejak 17 April tetapi kedua-dua Israel dan Hizbullah telah melakukan serangan setiap hari sejak itu.

  • AS dilapor serang kapal kargo di Selat Hormuz, bunuh lima orang

    Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam serangan AS ke atas dua kapal kargo di Selat Hormuz, menurut berita TASS memetik laporan agensi berita Tasnim Iran memetik sumber tentera sebagai berkata.

    Menurut sumber itu, kapal-kapal yang membawa kargo awam sedang dalam perjalanan dari pelabuhan Khasab di Oman ke pantai Iran. Insiden itu diketahui selepas menyemak laporan bahawa AS telah menenggelamkan beberapa bot Iran.

    Menurut TASS, terdahulu, agensi Associated Press (AP) memetik komander Perintah Pusat AS (CENTCOM), Laksamana Brad Cooper sebagai berkata bahawa helikopter tentera AS telah menenggelamkan enam bot kecil Iran di Selat Hormuz. Iran menafikannya, dengan mengatakan bahawa tiada satu pun vesel Tentera Laut Iran yang ditenggelamkan oleh AS padaIsnin.

  • Israel akui bom 500 kawasan di Lubnan semasa gencatan senjata, 5 askar terbunuh

    Tentera Israel mengakui pada Selasa bahawa ia menyerang kira-kira 500 kawasan di Lubnan sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 17 April, dan lima askar Israel terbunuh dan 33 yang lain cedera akibat tembakan Hizbullah, lapor Anadolu.

    “Lima askar dari tentera dan pasukan keselamatan terbunuh dan 33 yang lain cedera sejak gencatan senjata,” kata Radio Tentera Darat, di tengah-tengah apa yang digambarkannya sebagai penapisan ketat terhadap jumlah kerugian sepenuhnya, menurut Anadolu.

    Menurut Anadolu, penyiar itu menjelaskan tiga askar terbunuh akibat dron sarat bahan letupan, dua akibat alat letupan buatan sendiri, 31 cedera akibat alat letupan dan dua dalam pertempuran dengan pejuang Hizbullah.

    Menurut berita Anadolu, dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dron Hizbullah telah menjadi kebimbangan yang semakin meningkat di Israel, dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menggambarkannya sebagai “ancaman utama”.

    Menurut radio itu, lapor Anadolu, pesawat Israel melakukan serangan ke atas kira-kira 500 kawasan sejak gencatan senjata, semuanya di selatan Lubnan kecuali satu sasaran di wilayah Bekaa.

    “Angka-angka ini menunjukkan bahawa tiada gencatan senjata di selatan Lubnan,” kata Radio Tentera, menurut Anadolu.

    Walaupun gencatan senjata telah diumumkan pada 17 April dan dilanjutkan sehingga 17 Mei, tentera Israel terus melancarkan serangan harian di Lubnan dan perobohan rumah secara meluas di berpuluh-puluh kampung.

    Kementerian Kesihatan Lubnan berkata pada Isnin bahawa 17 orang terbunuh dalam 24 jam lalu, menjadikan jumlah kematian akibat serangan Israel sejak 2 Mac kepada 2,696, dengan 8,264 cedera, lapor Anadolu.

  • Gunung berapi Kanlaon di Filipina meletus, muntah abu setinggi 800 meter

    Sebuah gunung berapi di tengah Filipina meletus awal Selasa, memuntahkan kepulan abu setinggi kira-kira 800 meter (2,624 kaki) ke langit dan mendorong pihak berkuasa untuk mengekalkan tahap amaran, lapor Anadolu.

    Menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs), letusan dari Gunung Berapi Kanlaon berlaku sejurus selepas fajar, dengan abu hanyut ke arah barat, sementara tahap amaran 2 kekal, menandakan pergolakan gunung berapi yang semakin meningkat, Anadolu memetik laporan saluran media tempatan Inquirer.

    Dalam 24 jam lalu, gunung berapi itu mencatatkan pelbagai pelepasan abu dan gempa bumi gunung berapi, bersama-sama dengan paras sulfur dioksida yang tinggi dan pembengkakan tanah yang berterusan.

    Pegawai telah memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak memasuki zon bahaya kekal sepanjang 4 kilometer (2.4 batu) kerana risiko letusan secara tiba-tiba.

  • Dron Israel sasar orang awam, bunuh seorang di utara Gaza

    Seorang lelaki Palestin terbunuh awal pagi Selasa apabila sebuah dron Israel menyasarkan sekumpulan orang awam dekat bulatan al-Jalaa di kawasan al-Ayoun, utara bandar Gaza, menurut berita WAFA.

    Menurut WAFA, sumber perubatan melaporkan serangan itu juga mengakibatkan kecederaan, sesetengahnya parah.

  • Sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin terbunuh pada Ahad di Gaza

    Sekurang-kurangnya tiga dilaporkan terbunuh pada Ahad di Jalur Gaza termasuk kanak-kanak, akibat tindakan kejam tentera Israel.

    Menurut berita WAFA, pada petang Ahad, seorang pemuda Palestin mati ditembak oleh tentera Israel di kem pelarian Jabalia, utara Jalur Gaza.

    Sumber perubatan dilapor berkata mangsa, Ahmad Ramadan al-Harsh, terbunuh akibat tembakan Israel di kawasan kem Jalan al-Hoja.

    WAFA sebelumnya melaporkan, seorang warga Palestin terbunuh akibat tembakan Israel di timur Khan Younis di selatan Jalur Gaza.

    Sumber perubatan mengatakan mangsa yang tidak dikenali itu mati ditembak oleh pasukan pendudukan Israel dekat bulatan Bani Suheila di timur Khan Younis.

    Terdahulu pada hari itu, WAFA melaporkan, budak lelaki, Riyad Naji Abu Nimer, 15, terbunuh dalam serangan dron Israel di kawasan sama.

    Dia dilaporkan terkena serpihan selepas sebuah dron menjatuhkan bom ke atas sekumpulan orang awam di kawasan Qizan Abu Rashwan, selatan Khan Younis.

    Dia meninggal dunia akibat kecederaannya sebelum sampai ke hospital, manakala yang lain cedera dalam serangan itu, lapor WAFA.