khaliffa1024@gmail.com

  • Ketua Hizbullah ulangi penolakan rundingan langsung dengan Israel, tidak akan lepaskan senjata

    Ketua Hizbullah, Naim Qassem, berkata rundingan langsung “di luar persoalan” dan kumpulannya akan terus menentang dan bertindak balas terhadap “pencerobohan” Israel, lapor Al Jazeera.

    “Kami tidak akan melepaskan senjata, dan pertahanan serta medan perang telah membuktikan kesediaan kami untuk konfrontasi,” katanya.

    “Pihak berkuasa [kerajaan Lubnan] terburu-buru untuk membuat konsesi yang tidak perlu dan tidak sepatutnya (gratuitous) , dan kami menolak sepenuhnya rundingan langsung [dengan Israel]. Pihak berkuasa mesti menghentikan rundingan langsung dan meneruskan jalan rundingan tidak langsung,” kata Qassem.

  • 5 sekeluarga mati ditembak lelaki bersenjata di Afghanistan

    Lelaki bersenjata tidak dikenali menembak mati lima sekeluarga di wilayah Logar, timur Afghanistan pada Isnin, menurut berita Xinhua memetik kenyataan pejabat kerajaan wilayah.

    Lelaki bersenjata tidak dikenali, menurut kenyataan itu, memasuki sebuah rumah di sekitar ibu kota wilayah Pul-e-Alam awal pagi ini, membunuh lima ahli keluarga, membabitkan bapa, ibu, dua anak lelaki dan pengantin perempuan di rumah terbabit.

  • Sambaran petir mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang di Bangladesh

    Sambaran petir membunuh sekurang-kurangnya 14 orang di seluruh Bangladesh pada Ahad apabila ribut petir melanda beberapa daerah susulan gelombang haba berpanjangan, lapor Anadolu memetik polis dan media tempatan.

    Kematian dilaporkan di tujuh daerah, termasuk lima di daerah utara Gaibandha.

    “Lima orang, termasuk dua kanak-kanak, maut dalam sambaran petir di daerah Gaibandha,” kata Muhammad Rakib, seorang pegawai polis bertugas di bilik kawalan daerah, kepada Anadolu.

    Dalam kejadian berasingan, dua orang terbunuh di daerah utara Thakurgaon, dua di Sirajganj semasa hari ribut pertama musim ini, dan dua lagi di Jamalpur. Seorang masing-masing terbunuh di daerah Panchagarh, Natore dan Bogra, lapor Anadolu memetik akhbar Prothom Alo.

    Menurut Anadolu, Forum Kesedaran Selamatkan Masyarakat dan Ribut Petir, sebuah organisasi sukarelawan yang menumpukan pada kesedaran kilat, berkata 330 orang terbunuh akibat kilat di Bangladesh tahun lalu.

  • Menteri Luar Iran tiba di Rusia untuk berbincang dengan Putin

    Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi, mendarat di Saint Petersburg, Rusia awal Isnin untuk berbincang dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, menurut berita Xinhua memetik laporan media kerajaan Iran.

  • 42 maut dalam keganasan kaum di Chad

    Sekurang-kurangnya 42 orang terbunuh dan 10 yang lain cedera selepas keganasan meletus di kampung Igote di wilayah Wadi-Fira di timur Chad, menurut berita Xinhua memetik laporan Agensi Akhbar dan Penerbitan Chadian pada Ahad.

    Insiden itu berlaku pada Sabtu selepas pergaduhan antara dua individu mengenai satu titik air yang memuncak menjadi pertempuran antara dua komuniti.

    Timbalan Perdana Menteri Chad, Limane Mahamat, mengetuai delegasi ke kampung itu untuk menilai keadaan.

    “Malangnya, kami kesal melaporkan 42 kematian dan 10 kecederaan. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga yang berduka,” kata Limane Mahamat.

    Pertempuran kaum adalah perkara biasa di Chad, sering disebabkan oleh pertikaian tanah.

  • Sekurang-kurangnya 5 terbunuh dalam serangan bersenjata di Ecuador

    Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan dua lagi cedera dalam serangan bersenjata pada malam Sabtu di Puerto Bolivar di bandar pesisir Machala, kata Polis Kebangsaan Ecuador pada Ahad, lapor Xinhua.

    Polis berkata, beberapa penyerang yang menyamar sebagai pegawai keselamatan menghampiri sekumpulan orang yang berkumpul di luar sebuah rumah, berpura-pura menjalankan operasi sebelum melepaskan tembakan.

    Kira-kira 30 kelongsong balistik daripada senjata jarak dekat dan jauh ditemui di tempat kejadian, kata pihak berkuasa.

    Semua mangsa adalah lelaki berumur antara 26 dan 63 tahun, termasuk dua beradik. Mereka yang cedera dibawa ke hospital berdekatan.

    Kenderaan yang digunakan dalam serangan itu kemudiannya ditemui terbakar, dan penyiasat percaya suspek melarikan diri melalui air.

    Polis berkata serangan itu mungkin dikaitkan dengan pertikaian antara kumpulan jenayah mengenai laluan pengedaran dadah.

    Ecuador telah menghadapi lonjakan keganasan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan lebih daripada 9,200 pembunuhan direkodkan pada 2025, menurut data rasmi, lapor Xinhua.

  • Menteri Pertahanan Mali, Sadio Camara, dilapor terbunuh semasa serangan terkoordinasi

    Menteri Pertahanan Mali, Jeneral Sadio Camara, terbunuh semasa serangan terkoordinasi ke atas tapak tentera di seluruh negara, lapor Al Jazeera memetik sumber memberitahunya.

    Berita pada Ahad itu datang sehari selepas kediamannya di bandar garison Kati diserang semasa serangan serentak oleh sekutu al-Qaeda dan pemberontak Tuareg.

    Camara merupakan tokoh utama dalam kerajaan tentera yang merampas kuasa selepas rampasan kuasa berturut-turut pada tahun 2020 dan 2021.

    “Dia merupakan seorang daripada tokoh paling berpengaruh dalam kepimpinan tentera yang memerintah dan telah dilihat oleh sesetengah pihak sebagai bakal pemimpin Mali,” kata Nicolas Haque dari Al Jazeera, yang telah banyak melaporkan dari Mali.

    “Kematiannya merupakan tamparan hebat kepada angkatan tentera negara.”

    Menurut Al Jazeera, Haque berkata penyerang melakukan serangan bom kereta berani mati ke atas kediaman Camara di Kati, sebuah bandar tentera yang dikawal ketat kira-kira 15km (9 batu) barat laut ibu negara, Bamako, tempat Presiden Sementara Assimi Goita juga tinggal.

    “Kati dianggap sebagai salah satu lokasi paling selamat di negara ini, namun pejuang dari Jama’at Nusrat al-Islam wal-Muslimin (JNIM) yang berkaitan dengan al-Qaeda, bersama pejuang Tuareg dari Barisan Pembebasan Azawad (FLA), dapat melancarkan serangan”.

    Goita “hidup dan sihat di lokasi yang selamat”, tambah Haque.

    “Apabila serangan itu berlaku, dia dipindahkan ke tempat yang selamat, jadi dia kekal sebagai ketua tentera,” katanya.

    Lelaki-lelaki bersenjata menyerang beberapa lokasi lain di seluruh Mali, termasuk Bamako, serta Gao dan Kidal di utara dan pusat bandar Sevare.

  • Wanita terbunuh akibat tembakan Israel di selatan Khan Younis

    Seorang wanita Palestin ditembak dan terbunuh pada Ahad oleh pasukan pendudukan Israel di selatan Khan Younis di selatan Jalur Gaza, lapor WAFA memetik sumber perubatan.

    Sumber melaporkan bahawa Huda Juma Ramadan Al-Attar, 40, telah ditembak dan terbunuh oleh tentera Israel di kawasan rumah sembelih Turki di selatan bandar itu.

  • Dua rakyat Palestin terbunuh dalam serangan dron Israel di Gaza

    Dua rakyat Palestin terbunuh pada pagi Ahad dalam serangan dron yang dilakukan oleh pasukan pendudukan Israel di kawasan kejiranan Al-Zaytoun, tenggara bandar Gaza, menurut berita WAFA.

    Dua lelaki terbabit dilaporkan terbunuh apabila sebuah dron menyasarkan sekumpulan orang awam dekat Bulatan Kuwait di kawasan Al-Zaytoun.

  • Angka maut di Gaza meningkat kepada 72,587 sejak Oktober 2023

    Jumlah kematian akibat pencerobohan Israel yang berterusan di Jalur Gaza meningkat kepada 72,587, dengan 172,381 orang cedera sejak bermulanya perang pada Oktober 2023, lapor WAFA memetik sumber perubatan pada Ahad.