Sekurang-kurangnya 4 orang dilaporkan maut ketika banjir landa Syria

Sekurang-kurangnya empat orang, termasuk dua kanak-kanak, dilaporkan maut susulan hujan lebat dan banjir kilat yang melanda beberapa wilayah di Syria, manakala ratusan keluarga terpaksa meninggalkan kem penempatan, lapor berita Xinhua.

Menurut Xinhua, akhbar milik kerajaan Syria, Al-Thawra, melaporkan dua kanak-kanak lemas dalam kejadian berasingan di wilayah utara Raqqa dan wilayah timur Deir al-Zour.

Seorang lelaki maut selepas dihanyutkan arus banjir di kawasan al-Buassi, di barat bandar Tabqa, Raqqa.

Pihak berkuasa pengurusan kecemasan dan bencana Syria turut melaporkan satu kematian akibat kemalangan jalan raya di kawasan luar bandar barat Raqqa.

Sementara itu, Xinhua memetik agensi berita negara SANA, pasukan kecemasan telah memindahkan kira-kira 375 keluarga dari tiga kem penempatan terjejas banjir di luar bandar Raqqa, serta menyelamatkan 15 orang awam yang terperangkap di dalam kenderaan.

Menurut pihak berkuasa pengurusan kecemasan dan bencana, banjir telah menyebabkan tujuh jambatan, pembetung, dan jalan raya yang tidak berturap tidak dapat digunakan. Pasukan kecemasan juga telah mengepam keluar air dari lebih 150 rumah dan kemudahan awam, termasuk hospital, sekolah, dan kedai roti.

Di Kasrat Surour, laluan lintasan saliran tanah runtuh menyebabkan lebih 100 keluarga terkepung oleh air banjir, sekali gus mencetuskan operasi menyelamat kecemasan.

Menurut Xinhua, Syrian Observatory for Human Rights, sebuah badan pemantau perang berpangkalan di Britain, turut melaporkan banjir besar di kem-kem penempatan, termasuk di Washokani dan al-Talae di wilayah timur laut Hasakah. Di sana, berpuluh-puluh khemah ditenggelami air, menyebabkan keluarga kehilangan peralatan tidur, selimut, dan bekalan makanan.