Agensi berita kebangsaan Finland, STT, mengumumkan pada Khamis, ia akan menghentikan perkhidmatan berita dan fotonya menjelang akhir Mac 2027, sekali gus menamatkan 139 tahun operasi kewartawanan di tengah-tengah masalah kewangan yang berlarutan, lapor berita Xinhua.
Lembaga pengarah STT mengesahkan keputusan itu selepas melengkapkan rundingan yang diwajibkan oleh undang-undang bersama pekerja. Penutupan ini dijangka menyebabkan penghapusan 89 jawatan, termasuk 68 pekerjaan dalam bidang kewartawanan. Selain itu, 30 kontrak pekerjaan tempoh tetap atau perjanjian rangka kerja akan berakhir.
Menurut Xinhua, STT berkata perkhidmatan berita dan fotonya akan terus beroperasi sehingga 31 Mac 2027. Perniagaan pengedaran siaran akhbar miliknya, yang menggaji tujuh orang pekerja, akan kekal beroperasi.
Agensi itu menyatakan bahawa penutupan ini berpunca daripada kerugian kewangan selama bertahun-tahun serta kurangnya komitmen daripada pemegang saham untuk mengekalkan dan membangunkan operasinya. Langkah pengurangan kos sebelum ini gagal memulihkan daya maju kewangannya.
Situasi kewangannya bertambah buruk apabila Sanoma, sebuah kumpulan media utama di Finland dan pemegang saham utama STT, berhenti menggunakan perkhidmatan agensi itu pada awal 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif STT, Kimmo Laaksonen, menyifatkan penutupan ini sebagai “satu tragedi besar bagi masyarakat Finland secara keseluruhannya” sambil menyatakan bahawa agensi itu bakal menyambut ulang tahun ke-139 penubuhannya pada Ahad ini.
Kerajaan Finland sebelum ini telah menjanjikan bantuan kewangan sebanyak 1.05 juta euro (kira-kira 1.17 juta dolar AS) kepada STT, lapor Xinhua, bagaimanapun dana itu tidak pernah disalurkan, dan Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi telah menangguhkan persiapan untuk pemberian subsidi itu pada September, sementara menunggu keputusan mengenai masa depan agensi itu.
Ditubuhkan pada 1887, STT adalah satu daripada agensi berita kebangsaan tertua di dunia. Penutupan ini akan menjadikan Finland antara segelintir negara Eropah yang tidak mempunyai agensi berita kebangsaan.
Kesatuan Wartawan Finland telah memberi amaran bahawa kehilangan STT boleh melemahkan akses kepada maklumat yang boleh dipercayai, terutama dalam media serantau dan tempatan, yang sangat bergantung kepada agensi itu untuk liputan berita nasional dan antarabangsa, lapor Xinhua, kesatuan itu berkata bahawa saluran berita serantau akan berdepan kos lebih tinggi atau liputan berita berkurangan ketika mereka mencari alternatif kepada perkhidmatan STT.
Ia turut memberi amaran bahawa penutupan itu boleh mengancam kelangsungan organisasi media lain yang sedang bergelut.
