Sekurang-kurangnya sembilan orang maut dan beberapa yang lain cedera apabila sebuah silinder oksigen meletup di dalam sebuah ambulans di selatan Pakistan, lapor berita Anadolu memetik polis pada Khamis.
Kejadian itu berlaku lewat malam Rabu di sebuah hospital tempatan di daerah Tharparkar, wilayah selatan Sindh, ketika kakitangan hospital menyediakan pesakit untuk dipindahkan.
Mereka sedang menyambungkan silinder oksigen di dalam ambulans terbabit apabila ia meletup, menyebabkan kenderaan itu terbakar.
Yang maut termasuk pesakit dan kakitangan hospital. Lima orang lagi mengalami kecederaan akibat lecur serius.
