10 maut, 7 hilang susulan insiden bot-kapal minyak di Nigeria

Sekurang-kurangnya 10 orang disahkan maut dan tujuh lagi hilang selepas sebuah bot terbalik dalam satu konfrontasi antara penduduk tempatan dengan lelaki-lelaki berpakaian seragam tentera, berhubung isu tumpahan minyak di Delta Niger yang kaya dengan sumber minyak di Nigeria, lapor berita Anadolu memetik pemimpin komuniti pada Khamis.

Mereka dilapor berkata, kejadian itu berlaku di laluan air Robertkiri di Kula Kingdom, Kawasan Kerajaan Tempatan Akuku-Toru di Negeri Rivers, ketika penduduk sedang membantah pergerakan sebuah kapal minyak.
Bantahan itu tercetus susulan pertikaian yang belum selesai mengenai dakwaan tumpahan minyak serta rungutan lain berkaitan operasi di Oil Mining Lease (OML) 55.

Jonah Joshua, pemimpin komuniti yang terjejas, dilapor berkata: “Lapan orang diselamatkan, manakala tujuh lagi masih hilang sementara operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan.”

Mereka yang hilang termasuk Davies Opiri, setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kula, serta dua anggota kumpulan yang dikenali sebagai ‘Amama Soldiers’.

Pemimpin komuniti mendakwa anggota tentera tiba dengan menaiki bot bersenjata bagi melancarkan proses pengalihan kapal minyak terbabit, meningkatkan ketegangan dengan golongan belia yang menuntut supaya tindakan diambil terhadap kebimbangan berkaitan alam sekitar.

Menurut Anadolu, jurucakap Perintah Polis Negeri Rivers, Agabe Blessing Kaborlo, mengesahkan pihaknya sedia maklum mengenai insiden itu dan berkata siasatan sedang dijalankan bagi menentukan bilangan korban serta punca bot itu terbalik.

Negeri Rivers terletak di Delta Niger, sebuah wilayah pengeluar minyak utama di mana pertikaian mengenai pencemaran, pampasan, kawalan sumber, dan aktiviti syarikat minyak sering mencetuskan ketegangan.