Lima orang lemas ketika menyeberangi sungai di sempadan Croatia-Slovenia

Lima orang lemas di Sungai Kupa, barat Croatia, sempadan dengan Slovenia, manakala lima lagi diselamatkan, menurut berita Xinhua memetik polis berkata pada Jumaat.

Polis menerima panggilan pada jam 3:30 petang (1330 GMT) yang melaporkan sekumpulan besar individu, dipercayai pendatang, dilihat berada di sungai dekat kawasan sempadan Damalj.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang anggota polis terjun ke dalam sungai dan, dengan bantuan penduduk tempatan serta seorang lagi anggota polis, berjaya menyelamatkan lima warga asing.
Seramai 14 orang berjaya menyeberangi sungai itu dan kini berada di Slovenia.

Siasatan jenayah sedang dijalankan. Anggota polis, dengan bantuan anggota bomba, meneruskan operasi pencarian di kawasan berkenaan. Kewarganegaraan mangsa masih belum dikenal pasti.

Croatia, sebuah negara di Eropah Tenggara yang menyertai Kesatuan Eropah (EU) pada 2013 dan kawasan Schengen pada 2023, terletak di laluan yang sering digunakan oleh pendatang dari Timur Tengah, Asia Selatan, dan Afrika. Pendatang kerap cuba menyeberang dari Bosnia dan Herzegovina ke Croatia sebelum meneruskan perjalanan ke Slovenia serta negara-negara EU lain yang lebih makmur di Eropah Barat dan Utara.

Sungai Kupa merupakan sebahagian daripada sempadan semula jadi antara Croatia dan Slovenia serta telah menjadi lokasi lintasan amat berbahaya.