Kumpulan Houthi Yaman mendakwa pada Khamis, ia melancarkan serangan menggunakan berpuluh-puluh peluru berpandu balistik dan dron terhadap lokasi tentera Arab Saudi di wilayah Jazan, barat daya negara itu, menurut Anadolu.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree, berkata kumpulan itu melancarkan operasi yang menyasarkan bilik operasi, pusat arahan dan kawalan, depot senjata serta lokasi lain di kawasan Al-Tuwal.
Saree berkata, Houthi turut menyasarkan tapak pelancaran peluru berpandu di kem Al-Daghareer dan beberapa kem tentera Arab Saudi di Jazan.
Dia mendakwa serangan itu adalah “tepat dan langsung” dan mengakibatkan ratusan korban dalam kalangan tentera Arab Saudi, selain anggota tentera Yaman dan Sudan.
Saree juga mendakwa beberapa depot senjata Arab Saudi telah musnah atau terbakar.
Jurucakap pakatan diketuai Arab Saudi untuk Yaman, Turki al-Maliki, sebelum itu berkata enam peluru berpandu balistik dilancarkan oleh pemberontak Houthi telah dipintas dan dimusnahkan, menggagalkan cubaan menyasarkan bandar Taif dan Yanbu di Arab Saudi.
“Eskalasi dan pelanggaran oleh militia pengganas Houthi akan ditangani dengan tegas,” dia memberi amaran.
Al-Maliki tidak memberikan perincian sama ada pemintasan itu menyebabkan sebarang kerosakan, lapor Anadolu.

