28% polis Israel letak jawatan sejak Ben-Gvir pegang jawatan

Dua puluh lapan peratus polis Israel meletak jawatan sejak Itamar Ben-Gvir dilantik sebagai menteri keselamatan negara pada Disember 2022, menurut berita Anadolu memetik laporan akhbar Israel, Haaretz, pada Khamis.

Akhbar itu menyatakan angka berkenaan dibentangkan dan direkodkan semasa perbincangan tertutup yang diadakan berikutan masalah kekurangan tenaga kerja dalam pasukan polis Israel.

Data itu juga menunjukkan peningkatan dalam pengambilan anggota polis sepanjang tempoh perkhidmatan Ben-Gvir, namun lebih daripada suku daripada anggota baharu itu ditempatkan di Polis Sempadan atau apa yang dipanggil sebagai Pengawal Kebangsaan (National Guard), yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Keselamatan Negara, lapor Anadolu memetik Haaretz.

Walaupun terdapat usaha pengambilan anggota baharu, laporan itu menurut Anadolu, menyatakan masih terdapat kekurangan kira-kira 2,000 pegawai di balai-balai polis dan bahagian trafik Israel.

Kerajaan Israel secara rasmi meluluskan penubuhan Pengawal Kebangsaan di bawah Kementerian Keselamatan Negara pada April 2023.

Dilaporkan, pihak yang membantah mengkritik tindakan meletakkan pasukan itu di bawah kuasa Ben-Gvir, dengan mendakwa bahawa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sebenarnya telah bersetuju untuk menubuhkan “militia peribadi” di bawah pimpinan ketua parti berhaluan kanan ekstrem, Otzma Yehudit, sebagai pertukaran bagi konsesi politik.