Sebuah mahkamah di Indonesia mengurangkan hukuman penjara pengasas Gojek dan bekas Menteri Pendidikan, Nadiem Makarim, daripada 10 tahun kepada 9 tahun dalam satu perbicaraan rayuan bagi sabitan kes rasuah berkaitan perolehan komputer riba yang tidak wajar, menurut kenyataan hakim pada Khamis, lapor Reuters.
Nadiem dijatuhi hukuman penjara 10 tahun pada Jun selepas mahkamah mendapati dia bersalah menyalahgunakan kuasa semasa proses perolehan Chromebook Google untuk sekolah-sekolah di Indonesia, yang mengakibatkan kerugian negara sebanyak AS$125 juta. Dia mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Jakarta pada 1 Julai.
Menurut Reuters, seorang hakim, Catur Iriantoro, berkata pada Khamis bahawa mereka tidak meluluskan rayuan Nadiem untuk menggugurkan semua pertuduhan kerana keputusan terdahulu adalah selaras dengan fakta ditetapkan semasa perbicaraan, bukti dikemukakan, serta keterangan saksi.
Mahkamah juga mengurangkan jumlah bayaran ganti rugi yang perlu dibayar oleh Nadiem daripada 809 bilion rupiah (AS$45.23 juta) kepada 548 bilion rupiah, menurut seorang lagi hakim, Subachran Hardi Mulyana, lapor Reuters.
Selepas perbicaraan itu, Nadiem melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan berkenaan dan memberitahu pemberita bahawa dia akan mengemukakan rayuan seterusnya ke Mahkamah Agung.
“Mangsa sekarang bukan sahaja saya, malah kredibiliti sistem penguatkuasaan undang-undang di Indonesia,” katanya, seperti dilaporkan Reuters.
Hakim-hakim juga mengekalkan keputusan terdahulu yang menyatakan bahawa Makarim telah mengubah suai syarat tender bagi memihak kepada Chrome, yang memberi manfaat kepada Google serta menyekat persaingan.

