Kumpulan Houthi Yaman berkata pada Selasa bahawa pesawat perang Arab Saudi melancarkan 19 serangan udara di tiga wilayah Yaman dalam tempoh 24 jam lalu, manakala media kendalian Houthi melaporkan sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan 11 cedera dalam serangan terbaharu itu, menurut berita Xinhua.
Menurut Xinhua, jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea, berkata dalam satu kenyataan di X bahawa serangan terbabit menyasarkan wilayah barat daya Taiz, wilayah utara Al-Jawf, dan wilayah timur laut Marib yang kaya dengan sumber minyak.
Sarea berkata pesawat pejuang F-15 dan Typhoon milik Arab Saudi yang beroperasi dari pangkalan udara di Khamis Mushait dan Taif telah melancarkan serangan terbabit, mengakibatkan kematian dan kecederaan.
Dia menambah bahawa serangan terbaharu itu menjadikan jumlah serangan udara dan peluru berpandu Arab Saudi yang dilaporkan oleh Houthi sejak peningkatan ketegangan semasa bermula mencecah 936, sambil memberi amaran bahawa Arab Saudi akan berdepan dengan akibat yang “buruk”.
Bagaimanapun Xinhua melaporkan, angka-angka terbabit tidak dapat disahkan secara bebas.
Menurut Xinhua, dalam perkembangan berasingan, media kendalian Houthi dan para pegawai berkata serangan dari malam Isnin hingga Selasa telah mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang dan mencederakan 11 yang lain.
Abdul Qader al-Murtada, ketua jawatankuasa hal ehwal tahanan Houthi, dilapor berkata dalam satu kenyataan di X bahawa sembilan tahanan terbunuh apabila serangan udara Arab Saudi melanda sebuah penjara di Al-Hazm, ibu kota wilayah Al-Jawf, pada malam Isnin.
Dalam satu lagi kejadian di Al-Jawf, saluran TV al-Masirah kendalian Houthi melaporkan bahawa seorang wanita dan anaknya terbunuh dalam serangan udara Arab Saudi, manakala suami serta dua lagi ahli keluarga wanita itu cedera.
Menurut Xinhua, terdahulu pada Selasa, al-Masirah melaporkan tiga serangan udara Arab Saudi melanda sebuah rumah kediaman di bandar pelabuhan strategik Laut Merah, Mocha di Taiz, mengorbankan enam orang termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita, serta mencederakan lapan yang lain.

