Angka kematian meningkat kepada enam orang pada Selasa, dengan enam lagi masih hilang, selepas hujan lebat akibat taufan besar melanda wilayah Kanto di timur Jepun serta mencetuskan kejadian tanah runtuh dan banjir sehari sebelumnya, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.
Daripada jumlah kematian itu, lima disahkan berlaku di Prefektur Chiba, di timur Tokyo, termasuk seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang maut selepas terjatuh ke dalam kawasan rumpun buluh ketika mengendalikan jentera berat untuk membersihkan lumpur dan serpihan akibat tanah runtuh. Mangsa lain pula berusia lingkungan 70-an dan 80-an, menurut Xinhua memetik Kyodo News.
Satu lagi kematian disahkan di Yokosuka, Prefektur Kanagawa, yang juga dekat Tokyo, membabitkan seorang wanita berusia lingkungan 60-an yang meninggal dunia pada Isnin selepas rumahnya dilanda tanah runtuh yang menyebabkan lumpur membanjiri kediaman itu.

