Tiga rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di seluruh Jalur Gaza pada Sabtu, termasuk satu yang menyebabkan kerosakan teruk pada depot bekalan perubatan di Hospital al-Aqsa di Deir al-Balah di tengah Jalur Gaza, menurut berita Xinhua.
Saksi mata dilapor berkata, sebuah dron Israel melepaskan peluru berpandu ke arah sebuah rumah di pinggir Deir al-Balah, menyebabkan letupan besar.
Menurut Xinhua, Hospital Al-Aqsa di bandar itu mengeluarkan kenyataan akhbar ringkas yang mengesahkan ketibaan mayat seorang lelaki tua dan seorang yang cedera parah.
Menurut Xinhua, terdahulu, sumber tempatan melaporkan sebuah pesawat Israel menyasarkan perhimpunan rakyat Palestin di kawasan kejiranan Sheikh Radwan, utara bandar Gaza, mengakibatkan korban.
Sumber perubatan Palestin dilapor berkata, dua orang terbunuh dan beberapa yang lain mengalami kecederaan dalam serangan udara itu. Semua yang cedera dipindahkan ke Hospital Al-Shifa di bandar Gaza.
Menurut Xinhua, secara berasingan, pihak berkuasa kesihatan berpangkalan di Gaza melaporkan pada Sabtu bahawa hospital-hospital di Jalur Gaza menerima sejumlah lapan mayat dan 76 cedera dalam 48 jam lalu.

