Sudan

  • 28 terbunuh, berpuluh-puluh cedera dalam serangan RSF ke atas Darfur Utara Sudan

    Sekurang-kurangnya 28 orang awam terbunuh dan 39 yang lain cedera, termasuk 10 wanita, dalam serangan oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera di Darfur Utara, menurut berita Anadolu memetik sebuah kumpulan perubatan Sudan pada Selasa.

    Menurut Anadolu, Rangkaian Doktor Sudan berkata dalam satu kenyataan bahawa kematian dilaporkan dalam serangan roket ke atas pekan Mustariha di barat Sudan.

    Serangan itu juga dilaporkan memusnahkan satu-satunya pusat kesihatan di kawasan itu. Kakitangan perubatan diserang, dan seorang petugas kesihatan ditahan dan telah hilang sejak itu, kata kumpulan itu, menurut Anadolu.

    Kumpulan perubatan itu dilapor berkata, serangan itu telah menyebabkan gelombang besar perpindahan ke kampung dan penempatan berdekatan di tengah-tengah keadaan kemanusiaan yang sudah teruk.

    “Serangan ini merupakan jenayah sepenuhnya dan pelanggaran terang-terangan terhadap semua undang-undang kemanusiaan dan antarabangsa yang menjadikan serangan terhadap orang awam sebagai jenayah,” tambahnya.

    Ia merayu kepada masyarakat antarabangsa “untuk segera mengambil tindakan bagi melindungi orang awam yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan sistematik ini, memastikan penyampaian bantuan kemanusiaan dan perubatan, dan segera berusaha untuk menghentikan pelanggaran terbabit dan meminta pemimpin RSF bertanggungjawab secara langsung atas insiden ini, kerana ia melanggar semua undang-undang antarabangsa yang melarang serangan terhadap orang awam, pengusiran mereka, dan intimidasi.”

    RSF mengawal empat daripada lima negeri Darfur di barat Sudan, dengan sebahagian Darfur Utara masih di bawah kawalan tentera. Tentera mengekalkan pengaruh ke atas kebanyakan negeri yang tinggal di negara itu, termasuk ibu negara, Khartoum.

    Darfur merangkumi kira-kira satu perlima daripada wilayah Sudan, yang merangkumi lebih daripada 1.8 juta kilometer persegi, manakala kebanyakan kira-kira 50 juta penduduk negara itu tinggal di kawasan yang dikawal oleh tentera.

    Sejak April 2023, RSF dan tentera Sudan telah bertelagah mengenai pertikaian yang berkaitan dengan pengintegrasian pasukan separa tentera ke dalam tentera. Konflik ini telah mencetuskan keadaan kebuluran dalam apa yang dianggap sebagai salah satu krisis kemanusiaan terburuk di dunia, membunuh puluhan ribu orang dan menyebabkan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal.

  • Angka maut akibat feri karam di utara Sudan meningkat kepada 21 orang

    Jumlah kematian akibat kemalangan feri di Negeri Sungai Nil di utara Sudan meningkat kepada sekurang-kurangnya 21 orang, pihak berkuasa tempatan mengumumkan pada Khamis, menurut berita Xinhua.

    “Dua puluh satu mayat telah ditemui dari bot yang karam pada Rabu,” kata kerajaan Negeri Sungai Nil dalam satu kenyataan ringkas, menurut Xinhua.

    Menurutnya, operasi mencari orang hilang sedang dijalankan, dengan pasukan pertahanan awam meneruskan usaha menyelamat.

    Seorang saksi mata dari kawasan itu dilaporkan memberitahu Xinhua bahawa bot itu membawa lebih daripada 30 penumpang.

    “Antara mayat yang ditemui ialah 16 wanita dan lima lelaki, manakala lapan penumpang telah diselamatkan,” kata saksi mata itu, menurut Xinhua.

    Bot itu sedang bergerak antara kampung Tayba Al-Khawad dan Deim Al-Qarai, utara Shendi di Negeri Sungai Nil, apabila ia terbalik akibat ombak besar, menurut pihak berkuasa pertahanan awam Sudan, lapor Xinhua.

  • UNICEF kata sekurang-kurangnya 20 kanak-kanak Sudan terbunuh pada Januari

    Sekurang-kurangnya 20 kanak-kanak Sudan terbunuh pada Januari, kebanyakannya di wilayah Kordofan dan Darfur di barat Sudan, kata UNICEF pada Jumaat, lapor berita Anadolu.

    Menurut Anadolu, kematian itu dipetik dalam laporan yang diterbitkan oleh agensi kanak-kanak PBB yang menangani situasi kanak-kanak di seluruh rantau itu, termasuk Sudan.

    “Di Sudan, pada Januari 2026, sekurang-kurangnya 20 kanak-kanak terbunuh, kebanyakannya terbunuh di negeri Kordofan dan Darfur,” kata UNICEF, menurut Anadolu.

    Agensi itu memberi amaran bahawa “berjuta-juta kanak-kanak di Sudan memerlukan bantuan menyelamatkan nyawa, perlindungan dan pemulihan perkhidmatan penting” ketika pertempuran terus memusnahkan sebahagian besar negara.

    UNICEF dilapor berkata, kebuluran telah disahkan di Al Fasher di Darfur Utara dan di Kadugli di Kordofan, dengan hampir 20 kawasan lain berisiko.

    Daripada 18 negeri Sudan, Pasukan Sokongan Pantas (RSF) mengawal kelima-lima negeri di wilayah Darfur barat, kecuali bahagian Darfur Utara yang masih di bawah kawalan tentera. Tentera Sudan menguasai kebanyakan kawasan daripada baki 13 negeri di seluruh selatan, utara, timur dan tengah negara, termasuk ibu negara, Khartoum.

    Konflik antara tentera Sudan dan RSF meletus pada April 2023 dan telah membunuh beribu-ribu orang sambil menyebabkan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal.

  • Guardiola kritik tajam ketidakadilan global, genosid Gaza

    Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata pembunuhan orang yang tidak bersalah di seluruh dunia amat memberi kesan kepadanya dan menggesa orang ramai supaya tidak berdiam diri dalam menghadapi ketidakadilan, berucap pada sidang akhbar menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala Carabao pasukannya menentang Newcastle United, menurut berita Anadolu.

    “Tidak pernah dalam sejarah manusia kita melihat semuanya dengan begitu jelas di depan mata kita,” kata Guardiola.

    “Genosid di Palestin, apa yang berlaku di Ukraine, di Rusia, di Sudan – di mana-mana sahaja. Ini adalah masalah kita sebagai manusia.”

    Jurulatih berusia 55 tahun itu dilapor berkata, isu itu melangkaui politik atau mengambil pihak (berpihak), menekankan bahawa melindungi nyawa manusia mesti diutamakan.

    “Ia bukan sahaja mengenai Palestin. Ia mengenai setiap sebab yang boleh menjadikan kemanusiaan lebih baik,” katanya.

    “Orang yang melarikan diri daripada peperangan, meninggalkan negara mereka, menyeberangi Mediterranean – jangan tanya sama ada ia betul atau salah. Selamatkan mereka. Apabila orang ramai nazak, anda perlu membantu.”

    Mengkritik kejadian tembakan maut Renee Good dan Alex Pretti oleh pihak berkuasa persekutuan di Minneapolis bulan lalu, Guardiola dilapor berkata, insiden itu menggambarkan keperluan untuk bersuara menentang ketidakadilan.

    “Lihat apa yang berlaku di Amerika Syarikat — Renee Good dan Alex Pretti dibunuh,” katanya, menyifatkan kematian itu tidak dapat dipertahankan dan mempersoalkan bagaimana tindakan sedemikian boleh dipertahankan.

    “Jika ada sesuatu yang tidak kena, pergi ke mahkamah, saman, masuk penjara. Itulah masyarakat moden,” tambahnya.

    Guardiola berkata, adalah menyakitkan untuk menyaksikan imej orang awam yang menderita meskipun terdapat kemajuan teknologi dan sosial moden.

    “Kita boleh sampai ke bulan, kita boleh melakukan perkara yang luar biasa, tetapi kita masih membunuh antara satu sama lain.

    “Apabila saya melihat imej-imej itu, ia menyakitkan saya. Apabila beribu-ribu orang yang tidak bersalah dibunuh, ia menyakitkan. Saya akan sentiasa menentangnya. Apabila anda melihat bapa, ibu, anak-anak dimusnahkan setiap hari, bagaimana anda boleh tidak merasakan sesuatu? Saya merasakannya,” katanya.

  • Kubur besar Khartoum dedah babak gelap dalam perang Sudan

    Dua kubur besar yang mengandungi mayat ribuan orang baru-baru ini ditemui di Khartoum, mendedahkan babak gelap dalam konflik berterusan Sudan antara tentera dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera, lapor Anadolu.

    Menurut Anadolu, sumber tempatan memberitahunya, dua kubur besar itu ditemui di kawasan kejiranan Riyadh, dekat Jalan Obeid Khatim di ibu negara. Mayat yang ditemui di dalamnya menunjukkan bahawa mangsa dikebumikan secara tidak teratur.

    Sumber itu dilapor berkata, pasukan RSF telah menggunakan bangunan berdekatan di kawasan kejiranan itu — yang sebelum ini menempatkan pusat perintah RSF — sebagai pusat tahanan.

    Anadolu melaporkan, menurut saksi mata, orang awam dan anggota tentera yang mati di bawah penyeksaan di penjara yang dikendalikan oleh RSF telah diangkut oleh tahanan lain dan dikebumikan di dalam lubang yang digali menggunakan jentera berat.

    Sejumlah besar sandal dan kasut, bersama-sama dengan pelbagai barang peribadi, dapat dilihat di sekitar kubur, mencerminkan skala tragedi yang berlaku di tapak terbabit, menurut laporan Anadolu.

    “Kelewatan pembukaan kubur besar ini disebabkan oleh jumlah mangsa yang sangat ramai,” kata Peguam Negara Sudan, Intisar Ahmed Abdel Aal, kepada Anadolu.

    “Usaha sedang dijalankan untuk membuka kubur-kubur ini dan memindahkan mayat-mayat terbabit ke tanah perkuburan yang betul,” katanya.

    “Bilangan mayat yang dikebumikan sangat ramai, dan terdapat juga mayat yang dikebumikan di sekolah, universiti dan tempat awam.”

    Intisar menjelaskan bahawa penggalian mayat sedang dijalankan dengan kerjasama Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).

    “Kekurangan sumber bukan satu-satunya cabaran, tetapi juga bilangan mayat yang tinggi,” katanya.

    “Kubur besar tidak terhad kepada Khartoum sahaja tetapi meliputi Wad Madani dan kawasan besar di Sudan tengah.”

    Peguam Negara itu menekankan bahawa kerajaan sedang berusaha untuk memindahkan mayat-mayat terbabit dan “meletakkan pertanggungjawaban pada mereka yang bertanggungjawab atas jenayah ini”.

    Sudan telah dilanda konflik maut sejak April 2023, apabila pertempuran meletus antara tentera dan RSF atas pertikaian mengenai integrasi pasukan separa tentera ke dalam tentera negara.

    Daripada 18 negeri Sudan, RSF mengawal semua lima negeri di wilayah Darfur di barat, kecuali beberapa bahagian utara Darfur Utara yang masih berada di bawah kawalan tentera. Tentera pula menguasai kebanyakan kawasan daripada baki 13 negeri di selatan, utara, timur dan tengah, termasuk ibu kota Khartoum.

    Konflik itu sejak itu telah mengorbankan ribuan orang dan menyebabkan berjuta-juta orang lain kehilangan tempat tinggal.

  • 6 maut dalam runtuhan lombong emas di Sudan

    Enam orang terbunuh dan 12 cedera, dengan berpuluh-puluh masih hilang, apabila sebuah lombong emas runtuh di Kordofan Selatan di selatan Sudan, kata Rangkaian Doktor Sudan lewat Jumaat, lapor berita Anadolu.

    NGO itu berkata dalam satu kenyataan: “Keruntuhan lombong emas di Abu Jubaiha telah membunuh 6 pelombong dan mencederakan 12 yang lain. Nasib berpuluh-puluh masih tidak diketahui, kerana mereka terperangkap di bawah runtuhan pada masa kenyataan ini dibuat.”

    Ia menyeru usaha menyelamat yang dipergiatkan dan bantuan perubatan segera untuk mereka yang cedera.

    Kumpulan itu juga menggesa kerajaan untuk mengambil langkah bagi melindungi pelombong, termasuk menetapkan piawaian keselamatan, latihan dan pengawasan berkala bagi mencegah berulangnya bencana sedemikian.

    Perlombongan emas berskala kecil menggaji lebih daripada 2 juta orang di seluruh Sudan, selalunya dalam keadaan yang sangat teruk, dan menghasilkan kira-kira 80% daripada jumlah pengeluaran emas negara.

    Walaupun kerajaan Sudan tidak mengharamkan perlombongan artisanal, ia berusaha untuk mengawalnya. Walaupun terdapat kekurangannya, sektor ini menggaji sebilangan besar rakyat Sudan dan menyumbang kepada penciptaan pekerjaan.

    Sudan bergantung pada emas sebagai sumber utama mata wang asing selepas kehilangan tiga perempat daripada hasil minyaknya susulan pemisahan Sudan Selatan pada 2011, yang turut mengakibatkan kehilangan 80% sumber mata wang asing negara itu.

  • PBB beri amaran pengaliran senjata berterusan dorong perang Sudan, tuntut akauntabiliti

    Bekalan berterusan senjata yang semakin mematikan mendorong perang yang dahsyat di Sudan, dan mereka yang menyebabkan konflik itu akan dipertanggungjawabkan, seorang pegawai kanan PBB memberi amaran pada Isnin, menurut laporan Anadolu.

    “Bekalan senjata yang berterusan – yang semakin canggih dan mematikan – kekal sebagai pemacu utama konflik. Sudan dipenuhi dengan senjata,” kata Penolong Setiausaha Agung Khaled Khiari kepada Majlis Keselamatan PBB.

    “Seruan untuk menamatkan pengaliran ini tidak diendahkan, dan tiada akauntabiliti.”

    “Sementara itu, pihak-pihak yang terlibat masih tidak mahu berkompromi atau meredakan ketegangan. Walaupun mereka dapat berhenti berjuang untuk memelihara hasil minyak, mereka setakat ini gagal melakukan perkara yang sama untuk melindungi penduduk mereka,” tambahnya.​​​​​​​

    Dia menekankan keperluan untuk tindakan Majlis Keselamatan yang kukuh ketika usaha pengantaraan diteruskan.

    “Kami menggesa Majlis untuk menghantar mesej jelas dan bersatu: mereka yang memungkinkan perang ini akan dipertanggungjawabkan,” kata Khiari.

    Dia memetik keganasan baru-baru ini di wilayah Kordofan, termasuk serangan dron pada 4 Disember yang melanda sebuah tadika dan kemudian sebuah hospital, mengorbankan lebih 100 orang, termasuk 63 kanak-kanak, menyifatkan penderitaan orang awam sebagai “besar” dan “tidak dapat dibayangkan”.

    Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera telah berperang dengan tentera Sudan sejak April 2023, susulan kejatuhan peralihan ke arah pemerintahan awam, lapor Anadolu.

    Pada 26 Oktober tahun ini, pasukan RSF dilaporkan menguasai El-Fasher, ibu kota negeri Darfur Utara, selepas pengepungan selama 500 hari, mencetuskan perpindahan besar-besaran dan menyebabkan orang awam terperangkap dengan sedikit akses kepada makanan.

  • 9 terbunuh dalam serangan dron RSF di Kordofan Selatan, Sudan

    Sekurang-kurangnya sembilan orang awam Sudan terbunuh dan 17 yang lain cedera dalam serangan dron dan artileri oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera di negeri Kordofan Selatan, kata sebuah kumpulan perubatan pada Ahad, menurut Anadolu.

    Menurut Anadolu, dalam satu kenyataan yang disiarkan di X, Rangkaian Doktor Sudan berkata RSF melakukan “bedilan yang disengajakan” yang menyerang hospital tentera Dilling dan beberapa lokasi awam di selatan bandar, termasuk kawasan Karol dan Al-Samasim.

    Kumpulan itu menyifatkan serangan itu sebagai “pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang terang-terangan” yang melarang menyasarkan kemudahan kesihatan dan orang awam.

    Rangkaian itu mengutuk apa yang dipanggilnya “serangan sistematik” ke atas institusi perubatan dan petugas kesihatan dan menganggap kepimpinan RSF bertanggungjawab sepenuhnya atas kematian, kecederaan dan “akibat kemanusiaan dan kesihatan yang serius”.

    Menurut Anadolu, Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) berkata pada Ahad, 455 orang melarikan diri dari bandar Dilling antara 11 Disember dan 13 Disember kerana peningkatan keadaan tidak selamat.

    Peningkatan perpindahan di Kordofan Selatan berlaku ketika pertempuran semakin sengit antara tentera Sudan dan RSF, bersama sekutu mereka, Gerakan Pembebasan Rakyat Sudan-Utara (SPLM-N), lapor Anadolu.

    Anggaran PBB menunjukkan lebih daripada 41,000 orang melarikan diri daripada keganasan yang semakin meningkat di Kordofan Utara dan Selatan sepanjang November, menurut agensi berita itu.

    Tiga negeri Kordofan – Utara, Barat, dan Selatan – telah menyaksikan pertempuran sengit selama berminggu-minggu antara tentera dan RSF, menyebabkan puluhan ribu orang melarikan diri.

  • 6 pengaman Bangladesh terbunuh dalam serangan dron di pangkalan PBB di selatan Sudan

    Enam pengaman Bangladesh terbunuh dan lapan yang lain cedera dalam “serangan dron oleh pengganas” di pangkalan PBB di Abyei, selatan Sudan, kata ketua kerajaan sementara Bangladesh pada Sabtu, menurut laporan Anadolu.

    Menurut Anadolu, dalam satu kenyataan, Muhammad Yunus melahirkan rasa terkejut atas kejadian itu dan berkata: “Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah diminta untuk mengambil langkah segera bagi memastikan tahap rawatan perubatan tertinggi dan bantuan yang diperlukan kepada pengaman yang cedera.”

    Terdahulu, dalam satu kenyataan di Facebook, tentera berkata bahawa kejadian itu berlaku di Abyei dan pertempuran masih berterusan, lapor Anadolu.

    Misi pengaman Pasukan Keselamatan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Abyei (UNISFA) telah dikerahkan pada tahun 2011.

    Kawasan Pentadbiran Abyei yang kaya dengan minyak ditadbir oleh Sudan Selatan dan Sudan, dengan kedua-duanya menuntut kepentingan dan telah terlibat dalam konflik selama bertahun-tahun.

    Mandat misi telah diperbaharui bulan lalu.

  • Tentera Sudan pintas serangan dron RSF ke atas kemudahan awam di Blue Nile

    Tentera Sudan memintas serangan dron oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera yang menyasarkan kemudahan perkhidmatan awam di Ad-Damazin, ibu kota negeri Blue Nile, kata pihak berkuasa pada Ahad, Anadolu melaporkan.

    Kerajaan negeri Blue Nile dilapor berkata dalam satu kenyataan, angkatan tentera menangkis percubaan RSF untuk menyasarkan infrastruktur awam di bandar itu, menggambarkan RSF sebagai “militia pengganas”.

    Ia mengutuk “secara sekeras-kerasnya” serangan dron dan percubaan kumpulan pemberontak untuk menyerang stesen janakuasa di bandar itu, tanpa memberikan butiran mengenai kematian atau kerosakan.

    Stesen janakuasa itu adalah kemudahan awam penting yang dipercayai untuk mempunyai akses kepada air dan mengendalikan hospital, pusat dialisis dan unit penjagaan neonatal, tambah kenyataan itu.

    Serangan itu mencerminkan “tidak menghiraukan kehidupan orang awam dan keperluan kemanusiaan mereka,” tambahnya.

    Pihak berkuasa meyakinkan penduduk bahawa “keadaan terkawal,” sambil menambah bahawa tentera Sudan sedang menunaikan kewajipannya untuk mengekalkan keselamatan dan kestabilan, melindungi nyawa dan harta benda, dan menghalang usaha untuk mengheret negara ke dalam huru-hara.

    Tiada komen segera daripada RSF mengenai serangan itu, menurut Anadolu.

    Awal Ahad, kumpulan Peguam Kecemasan bukan kerajaan berkata dron RSF menyasarkan stesen janakuasa utama Ad-Damazin pada Sabtu, menyebabkan pemadaman total dan mengganggu bekalan air.

    Pihak berkuasa Sudan baru-baru ini menuduh RSF melakukan beberapa siri serangan dron ke atas kemudahan awam, termasuk stesen janakuasa dan infrastruktur, di bandar utara dan timur.