Iraq

  • 13 maut dalam perlanggaran berbilang kenderaan di barat Iraq

    Seramai 13 orang, termasuk lapan askar Iraq, terbunuh, dan lima lagi cedera pada Rabu dalam perlanggaran berbilang kenderaan di lebuh raya antarabangsa di wilayah Anbar, barat Iraq, lapor berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, Leftenan Kolonel Salah al-Dulaimi dari polis trafik Anbar memberitahunya, kemalangan itu berlaku dekat bandar Fallujah, kira-kira 50 km barat Baghdad, disebabkan oleh kelajuan tinggi.

    Kementerian Pertahanan Iraq mengesahkan dalam satu kenyataan, lapan daripada yang terkorban adalah askar Iraq, yang maut bersama lima orang awam dalam kemalangan itu, lapor Xinhua.

    Menurut Xinhua, sumber perubatan dari hospital Fallujah memberitahunya, lima mangsa yang terselamat sedang menerima rawatan.

    Kemalangan jalan raya sering dilaporkan di Iraq disebabkan oleh keadaan jalan raya dan ketidakpatuhan terhadap peraturan keselamatan.

  • 6 maut dalam kemalangan di lebuh raya Iraq

    Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan 10 yang lain cedera pada Ahad dalam perlanggaran berbilang kenderaan di lebuh raya antarabangsa utama yang menghubungkan Baghdad ke wilayah selatan di tengah Iraq, lapor Xinhua memetik sumber keselamatan Iraq.

    Kejadian itu berlaku pada awal pagi dekat Diwaniyah, ibu kota wilayah Qadisiyah, apabila beberapa kereta dan trak berat bertembung antara satu sama lain akibat kabus tebal, seorang pegawai polis trafik Iraq dilapor berkata kepada Xinhua.

    Dilaporkan, perlanggaran itu membabitkan 10 kenderaan.

  • 9 maut ketika banjir landa Iraq

    Hujan lebat dan banjir kilat mengorbankan 9 orang dan mencederakan beberapa yang lain di Iraq, lapor Xinhua memetik media tempatan pada Jumaat.

    “Bilangan kematian yang disebabkan oleh banjir dan turun naik cuaca antara 9 dan 11 Disember mencecah enam orang, manakala bilangan yang cedera berjumlah dua orang,” sumber di Kementerian Kesihatan Iraq dilapor berkata kepada Agensi Berita Iraq.

    Ia melaporkan dua kematian dan satu cedera di wilayah Kirkuk, dua kematian di wilayah Dhi Qar, satu kematian di wilayah Wasit dan Diwaniyah, dan satu cedera di wilayah Najaf.

    Xinhua melaporkan, secara berasingan, rangkaian media Kurdish Rudaw berkata, di rantau Kurdistan Iraq, wilayah Sulaimaniyah mencatatkan tiga kematian.

  • 7 terbunuh dalam pertempuran puak bersenjata di selatan Iraq

    Tujuh orang terbunuh dan enam lagi cedera pada Sabtu dalam pertikaian puak berhubung pemilikan tanah di wilayah Maysan, selatan Iraq, kata seorang pegawai keselamatan tempatan, berita Xinhua melaporkan.

    Pertempuran tercetus awal pagi Sabtu antara dua puak di sebuah kampung dekat pekan Ali al-Gharbi, utara ibu kota wilayah, Amarah, menurut Mejar Ali al-Kaabi dari Perintah Operasi Maysan, lapor Xinhua.

    “Pertempuran ganas melibatkan senjata sederhana dan ringan tercetus,” al-Kaabi dilapor memberitahu Xinhua, sambil menambah bahawa bala bantuan daripada Polis Persekutuan dan pasukan Respons Pantas kemudian tiba, mengawal keadaan dan melancarkan operasi mencari senjata dan individu dikehendaki.

    Saad Nabhan, seorang doktor di Hospital Besar di Amarah, dilaporkan mengesahkan mangsa, berkata hospital menerima tujuh mayat dan enam pesakit yang cedera.

    Pertempuran maut sporadis kekal sebagai cabaran berterusan di selatan Iraq, didorong oleh ketersediaan senjata yang meluas, warisan konflik selama beberapa dekad, termasuk pencerobohan AS pada 2003 dan perang menentang kumpulan Islamic State. Pertempuran ini terus menjejaskan keselamatan tempatan walaupun negara mengalami kestabilan relatif yang lebih luas, menurut Xinhua.